Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas, Datuk Dr Puad Zarkashi, menyarankan dua orang besar yang berseteru di Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) supaya meletak jawatan.


Katanya, Tan Sri Isa Samad dan Datuk Zakaria Arshad perlu mengambil jalan lebih bermaruah dengan berundur dari FGV.

"Sewajarnya kedua-dua mereka meletak jawatan secara sukarela. Ambil jalan yang lebih bermaruah. Biarkan muka baru dan tenaga baru mengambil alih dan meneruskan usaha agar FGV menguntungkan shareholders (pemegang saham) terutamanya para peneroka.

Puad menambah pertelingkahan terbuka antara pengerusi FGV itu dengan presiden serta ketua pegawai eksekutif (CEO) kumpulan agensi itu amat memalukan.

"Ini episod memalukan kerana amat ketara sekali tidak ada musyawarah sesama mereka. Mana mungkin mereka boleh bekerjasama selepas ini," katanya.

Puad yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno berkata demikian sebagai mengulas kemelut yang melanda syarikat berkenaan sejak dilaporkan media semalam.

Isu itu berbangkit apabila Zakaria diarah bercuti serta-merta oleh anggota lembaga pengarah FGV.

Biar ada di tempat baru

Bagaimanapun Zakaria menegaskan beliau tidak akan berundur dan akan mempertahankan dirinya daripada sebarang tuduhan.

Kata Puad, paksaan cuti kepada seseorang pegawai kanan sesebuah organisasi atas alasan untuk membolehkan siasatan dalaman dijalankan sebenarnya adalah sebahagian daripada proses pemecatan.

Beliau berkata, timbul persoalan sama ada konflik yang berlaku di FGV itu adalah fenomena berterusan dalam pengurusan institusi berkaitan dengan orang Melayu.

"Apakah selepas ini akan ada lagi episod pertelingkahan antara pengerusi dan CEO atau ketua pengarah menyebabkan salah satu daripadanya dipaksa mengambil cuti atas alasan untuk siasatan dalaman yang sebenarnya proses pemecatan atau disuruh meletak jawatan?" katanya.

Justeru, kata Puad, Isa dan Zakaria wajar meletak jawatan secara sukarela.

Katanya, kedua-dua mereka juga tidak perlu menunggu campur tangan perdana menteri untuk membuat tindakan begitu.

"Ambil jalan mengalah. Letak jawatan segera. Mereka berdua perlu dipisahkan. Biar mereka berada di tempat baru tetapi berlainan," katanya.

Sementara itu diminta mengulas cadangan berkenaan, Isa yang dihubungi Malaysiakini enggan memberi sebarang komen.

"Saya tak nak jawab sebab saya dah kena banyak kali," katanya selepas dihubungi sebentar tadi.

Banyak syarikat pengerusi sama

Mengulas lanjut, Puad berkata, tiba masanya untuk pihak yang berkenaan mengkaji semula bidang kuasa seorang pengerusi dan CEO serta siapa yang berkuasa melantik seseorang anggota lembaga pengarah sesebuah agensi kerajaan.

Katanya, ia perlu difikirkan supaya pelantikan itu tidak menjadi medan untuk meraih kepentingan peribadi.

"Ada kalanya kita mendengar seseorang pengerusi menjadi pengerusi pula kepada beberapa anak anak syarikat yang lain.

"Kalau satu dua tidak mengapa. Terdapat dakwaan, kebanyakan anak-anak syarikat itu pengerusinya adalah orang yang sama.

"Apakah ini amalan korporat yang baik? Atau mesti ada jumlah had tertentu supaya ia tidak dimonopoli dan disalah guna oleh seorang individu.

"Justeru tunggu apa lagi. Kedua duanya kena letak jawatan supaya tidak berlaku trust deficit yang boleh mengakibatkan harga saham FGV jatuh menjunam.

"Semoga Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Samad tidak terlalu lama berdiam diri," katanya.

-Malaysiakini

Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.