Bekas Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan beliau pernah secara peribadi menerima dana daripada RM2.6 bilion yang didakwa sebagai sumbangan dari seorang anggota keluarga diraja Arab kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.


Ini berikutan Ahli Majlis Tertinggi Umno Nazri Abdul Aziz mendakwa Muhyiddin dan bekas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal menerima bahagian yang lebih besar daripada sumbangan RM2.6 bilion itu.

Shafie semalam juga menafikan menerima sebahagian daripada dana tersebut.

"(Ini) fitnah sefitnah-fitnahnya. Wallahi, wabillahi, watallahi, saya tak terima satu sen pun," kata Muhyiddin semasa ceramah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Kuala Lumpur malam tadi.

"Dia cerita kata oh ini Umno dapat. Bukan masuk dalam poket saya!" katanya.

Muhyiddin menegaskan bahawa isu yang dibangkitkan ialah soal wang yang didedahkan dalam akaun bank peribadi Najib.

Muhyiddin menceritakan bagaimana beliau pernah berkata beliau diberi taklimat oleh bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail tentang bukti mengenai dana itu yang telah disalurkan ke dalam akaun peribadi Najib.

"Saya dah cerita (mengenainya) di tempat lain, tapi banyak orang yang tak reti bahasa macam Nazri.

"Nazri kata saya dapat duit. Mana ada duit. (Dia) dah tak ada modal lagi dah... Dia nak tepis kiri kanan tak le buat apa, memang dah jam dah," kata bekas TPM itu.

Nazri mendakwa bahawa kedua-dua Muhyiddin dan Shafie menerima lebih banyak daripada RM2.6 bilion itu, berbanding dengannya, kerana mereka adalah ketua bahagian Umno yang mempunyak lebih banyak cawangan Umno.

Nazri berkata sebelum pilihan raya umum lepas, ketua bahagian telah menerima wang dari ibu pejabat Umno untuk membaiki rumah. Setiap rumah telah diperuntukkan RM5,000 dan setiap cawangan telah diminta untuk mencari lima buah rumah untuk membaiki.

Beliau membuat spekulasi bahawa memandangkan bahagian Muhyiddin mempunyai lebih daripada 100 cawangan, ini bermakna beliau sepatutnya menerima lebih RM2.5 juta.

Najib mendakwa RM2.6 bilion itu adalah sumbangan dari seorang anggota keluarga diraja Saudi, dan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali, ketika membersihkan perdana menteri daripada sebarang salah laku dalam perkara itu, mendakwa AS$620 juta kemudiannya telah dikembalikan kepada penyumbangnya.

-Malaysiakini

Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.