KERAJAAN Sabah menjelaskan telah membuat bantahan terhadap Akta Cukai Pelancongan 2017 bersama dengan Kerajaan Sarawak enam bulan sebelum undang-undang itu diluluskan April lalu.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, Sabah dan Sarawak tidak dibawa berunding oleh kerajaan pusat sebelum Akta Cukai Pelancongan digubal.

“Sabah berkongsi pandangan sama seperti Sarawak, bahawa ada sedikit atau tiada rundingan dengan kedua-dua kerajaan negeri (Sabah dan Sarawak) sebelum enakmen undang-undang ke atas cukai pelancongan dilaksanakan," katanya seperti dilaporkan dalam China Press.

Masidi berkata, semasa cukai pelancongan dicadangkan  Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan tahun lalu, kerajaan negeri membantah cadangan itu dan memaklumkan pihak berkuasa persekutuan berkaitan kebimbangan mereka.

Kerajaan persekutuan bagaimanapun tetap meneruskan untuk menggubal akta itu yang telah diluluskan Dewan Rakyat awal tahun ini.

"Sarawak juga membantah cadangan itu melalui Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg yang memaklumkan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman semasa lawatan beliau ke Kota Kinabalu awal tahun ini.

"Sabah dan Sarawak bersetuju bekerjasama dalam mendapat persetujuan ke atas cukai pelancongan yang dicadangkan,” katanya.

Beliau menjelaskan, Sabah akan terus bekerjasama dengan Sarawak untuk mencari titik persamaan dalam penglibatan dengan kerajaan persekutuan untuk mencari penyelesaian adil dalam isu itu.

Kerajaan Sabah katanya, akan membincangkan dan memutuskan pendirian mereka terhadap akta itu pada mesyuarat Kabinet akan datang.

Cukai pelancongan itu bakal berkuat kuasa pada 1 Julai, dan akan membabitkan hotel seluruh negara  mengenakan caj tambahan antara RM2.50 dan RM20 untuk setiap malam penginapan.

Serahkan kepada polis untuk siasatan

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyerahkan kepada  polis untuk menjalankan siasatan terhadap dakwaan adanya 'tauke judi' yang membiayai parti politik menjelang PRU14.

Menurut Guan Eng, kenyataan dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi itu tidak menamakan parti politik dan hanya bersifat umum, oleh itu adalah lebih baik menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, kuasa membanteras aktiviti perjudian terletak pada Kementerian Dalam Negeri dan polis.

"Bagaimanapun, pendirian kerajaan negeri sangat jelas terhadap aktiviti perjudian dan kasino di negeri itu. Pulau Pinang tidak pernah beri lesen perjudian kerana terletak di tangan kerajaan persekutuan. Kerajaan negeri tidak mempunyai hak mengenainya," katanya seperti disiarkan dalam Oriental Daily.

Menurut Guan Eng, kerajaan negeri tidak pernah mengeluarkan lesen judi, malah menentang sekeras-kerasnya premis seperti itu di Pulau Pinang.

Ahmad Zahid tidak memberi butiran atau menyatakan parti mana terlibat, tetapi mengarahkan polis mengambil tindakan keras terhadap kegiatan sedemikian.

“Ini bukan tuduhan, cuma dikhuatiri berlaku pembiayaan parti politik ini. Mulai hari ini, saya arahkan ketua polis negeri untuk membanterasnya. Saya tidak mahu lagi ada laporan ‘kingpin’ terdiri daripada tauke besar di Pulau Pinang,” kata Ahmad Zahid.

Masalah kurang pekerja asing berlarutan

Malaysia masih menghadapi masalah kekurangan pekerja asing terutama dalam beberapa sektor utama seperti industri perabot.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wee Ka Siong, terdapat 15 negara yang boleh dipilih oleh Malaysia untuk membawa pekerja asing ini ke dalam negara. Bagaimanapun, sehingga hari ini, hanya pekerja asing dari Bangladesh sahaja yang mempunyai minat datang ke sini.

"Walaupun ada 15 negara dibenarkan bawa masuk pekerja mereka ke negara kita, namun akibat nilai pertukaran wang asing, nampaknya hanya pekerja asing dari Bangladesh yang berminat bekerja di negara kita," katanya kepada Nanyang Siang Pau.

Menurut Ka Siong, kerajaan sedang cuba mencari jalan penyelesaian mengatasi masalah kekurangan pekerja asing dan antara langkah yang mungkin dilakukan ialah membenarkan tempoh kerja mereka dilanjutkan daripada dua tahun kepada tempoh lebih lama.

Kata Ka Siong, sebagai contoh, daripada 19,745 pekerja asing dari Bangladesh yang diminta oleh kira-kira 234 buah kilang perabot, sebanyak 88 kilang perabot  membuat bayaran levi untuk 6,342 pekerja dari Bangladesh itu.

"Bagaimanapun, sehingga hari ini, tiada seorang pun pekerja Bangladesh yang diminta tiba ke negara kita. Kerajaan membenarkan pekerja asing dari Bangladesh bekerja di negara kita. Masalah yang timbul ialah bayaran untuk orang tengah terlalu tinggi. Mereka terpaksa menjual tanah  semata-mata melunaskan bayaran kepada orang tengah, barulah dapat wang untuk datang ke Malaysia," kata Ka Siong.

-Sinarharian

Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.